Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Meskipun pelbagai taktik dan strategik penipuan melalui secara dalam talian dijalankan oleh  scammer, namun pelbagai kempen dan kesedaran yang dibuat oleh pihak berkuasa telah membuka mata masyarakat.

Belum berjaya sepenuh, namun sekurang-kurangnya semakin ramai yang mengetahui aktiviti scammer yang aktif menerusi Telegram, Whatsapp atau panggilan semakin menjadi-jadi di negara ini.

Buktinya, menerusi tinjauan MalaysiaGazette hari ini, rata-rata memaklumkan mereka sudah mulai peka  apabila menerima panggilan tidak dikenali mahupun mesej menerusi pautan yang diterima. 

Noorhisham Nahar Othman

 

Noorhisham Nahar Othman, 48, mengakui hampir setiap bulan dia akan menerima panggilan telefon daripada scammer kononnya berkaitan mahkamah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan penghantaran bungkusan.

Kerap menerima panggilan scammer menyebabkan Noorhisham hampir menjadi mangsa selepas menerima panggilan telefon yang memaklumkan kad banknya telah digunakan oleh individu lain.

“Sebelum ini pernah terima panggilan, dia mendakwa kad bank saya digunakan oleh individu lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tapi alhamduliah saya tak terjerat dengan penipuan itu sebab telefon saya kehabisan bateri.

“Di Telegram pula, scammer itu mengunakan nombor telefon anak buah saya untuk meminta duit daripada semua ahli keluarga, tapi ayat yang dihantar itu agak pelik.

“Nasib baik juga anak buah saya segera hubungi semua nombor telefon dia agar tidak terpedaya dengan mesej di Telegram itu,” katanya.

Normala Mohd Yusof

Sementara itu, seorang penjawat awam, Normala Mohd Yusof, 39, juga  menerima mesej atau dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan mahupun perjudian di dalam Telegram.

Bagaimanapun, dia sentiasa waspada dan bertindak segera dengan menyekat mesej atau nombor yang tidak dikenali dalam Telegram.

“Telegram memang ada banyak, mereka selalu invite (bawa masuk) dalam kumpulan pelaburan atau perjudian tapi saya cepat-cepat block (sekat) sebagai langkah waspada.

“Kalau panggilan pun sama juga kita ada pakai aplikasi yang boleh tahu itu panggilan scammer, jadi saya tidak akan angkat jika meragukan.

“Saya nasihat orang yang tidak bekerja  berhati-hati dengan panggilan palsu atau mesej yang berkaitan pelaburan, mereka perlu banyak baca info, dah banyak kes berlaku,” ujarnya.

Mohd Fadzli Hamidon

Seorang pekerja swasta, Mohd Fadzil Hamido, 36, berkata, dia akan melakukan penapisan untuk setiap panggilan atau mesej yang diterimanya sebagai langkah awal untuk elak terjerat menjadi mangsa scammer.

“Secara jujur dalam Telegram memang banyak sangat seperti pelaburan Forex, perjudian dan sebagainya. Sekiraya ada invite, saya akan terus block dan keluar itu langkah pertama saya buat.

“Begitu juga dengan panggilan telefon, saya tidak akan jawab dengan sewenang-wenangnya. Kalau melibatkan ahli keluarga saya akan dengar dulu kalau macam pelik saya terus putuskan panggilan.

“Nasihat saya terutama pada mereka yang baharu pencen, diminta berhati-hati dalam setiap panggilan atau mesej yang diterima, dengar nasihat anak-anak atau bertanya terlebih dahulu sebagai langkah keselamatan agar tidak menjadi mangsa scammer,” jelasnya.

Untuk rekod, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima sebanyak 37,002 panggilan mangsa scam (penipuan) dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM203.33 juta setakat Mei 2024.

Sejak penubuhannya pada 12 Oktober 2022 sehingga Mei 2024, jumlah keseluruhan panggilan yang diterima daripada orang ramai adalah sebanyak 95,094.

Kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebanyak 10,649 bagi kes kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Manakala, 74 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah dibuka melibatkan pembekuan 637 akaun yang berjumlah RM72.38 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast