Penunggang motosikal dikenali sebagai Zaiful Said, berusia 25 tahun sedang dalam perjalanan pulang bekerja dari Felda Kechau 2 ke rumahnya di Pos Sinderut. - Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan pemandu kereta berwarna merah yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian di Kilometer 25, Jalan Lilis Merapoh, Pahang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 6.50 pagi tadi melibatkan dua buah kenderaan.

“Hasil siastaan awal mendapati, penunggang motosikal dikenali sebagai Zaiful Said, berusia 25 tahun sedang dalam perjalanan pulang bekerja dari Felda Kechau 2 ke rumahnya di Pos Sinderut.

“Manakala seorang lelaki warga emas berusia 84 tahun dari kedai tayar sedang melintas ke seberang jalan untuk minum pagi bersama rakannya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba warga emas terbabit telah dilanggar oleh Zaiful dan kedua-dua mangsa jatuh di tengah jalan.

“Kemudian datang sebuah kereta berwarna merah dengan no plat tidak dikenalpasti dari Merapoh menuju ke arah Lipis telah melanggar Zaiful,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, akibat kemalangan itu, Zaiful disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala warga emas terbabit dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan suspek.

Menerusi rakaman video yang diperoleh, kereta merah terbabit berhenti sekejap selepas kemalangan.

Namun, pemandunya terus beredar selepas itu dan sehingga masa ini masih belum buat laporan.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast