Fadhlina (belakang, tengah) merasmikan Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) optimis program Football for Schools (F4S) bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang menekankan kepada kemenjadian murid melalui pembangunan yang holistik.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, program yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu membabitkan penglibatan 237 buah sekolah terpilih di seluruh negara.

Jelas beliau, penglibatan ribuan pelajar itu diyakini dapat memberi manfaat kepada pembangunan bakat serta potensi murid dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga B40 khususnya di kawasan Luar Bandar.

Fadhlina.

“Program terbabit melibatkan modul yang sangat penting dan bukan sahaja berkisar tentang pembangunan bola sepak, sebaliknya turut membangunkan karakter pelajar.

“Sebagai contoh pengurusan berkaitan dengan konflik, maknanya ketika bermain bukan sahaja soal jasmani tetapi juga emosi dan intelektual mereka juga mesti dibangunkan.

“Program F4S juga dapat meningkatkan akses sukan kepada murid, bertepatan dengan hasrat 1 Sukan 1 Murid KPM,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di sini.

Fadhlina pada Majlis Pelancaran Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di sini.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, program sebegini turut menjadikan pembelajaran kemahiran bola sepak lebih mudah diakses kanak-kanak lelaki dan perempuan di seluruh dunia dengan mewujudkan aktiviti bola sepak ke dalam sistem pendidikan menerusi kerjasama pihak berkuasa serta pihak berkepentingan yang relevan.

“Ia mempromosikan kemahiran dan kecekapan yang disasarkan melalui bola sepak dan menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan keutamaan lain.

“Saya sangat percaya dan yakin bahawa penglibatan FIFA yang aktif dengan komitmen bersama dengan Kementerian Pendidikan, kita akan dapat menerima lebih banyak bakat untuk negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast