Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Kurang dari 24 jam, pihak polis berjaya menahan empat lelaki tempatan yang disyaki cuba menyamun seorang juruteknik di hadapan stesen minyak dekat Lebuh Raya Kesas, berhampiran Subang, awal pagi semalam.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 41 tahun itu dicekup di sekitar daerah Klang dan Shah Alam oleh pasukan Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, 5.30 petang hari yang sama.

Turut dirampas sebuah kereta Nissan Almeera dan sebuah motosikal LC135 serta enam unit telefon bimbit milik suspek.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, terdahulu, pihak polis menerima laporan berhubung kes samun empat lelaki yang bersenjatakan kayu, 1.37 pagi semalam.

“Siasatan awal kami mendapati suspek yang menunggang motosikal telah menghalang kereta Toyota Estima dipandu mangsa lalu menghayunkan kayu ke arah cermin sisi kiri kenderaan pengadu sehingga pecah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 393 cubaan samun bersenjata secara berkumpulan dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Semakan lanjut polis mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes jenayah dan narkotik.

“Kesemua suspek akan direman pagi ini (8 Ogos) di Mahkamah Shah Alam untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes berkenaan,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast