Jho low
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low atau Jho Low didakwa telah memindahkan ratusan ribu hingga mencecah jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) dari dana milik syarikat dana strategik negara, 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Jho Low didakwa telah memindahkan jutaan ringgit daripada 1MDB melalui syarikat miliknya, Good Star Ltd.

Media hari ini melaporkan, Jho Low pernah menggunakan dana 1MDB untuk membayar selebriti, komposer di AS seperti Pharrell Williams, Kim Kardashian dan suaminya, Kris Humphries.

Perkara itu didedahkan oleh saksi pendakwaan, Richard Templeman yang telah memberikan kenyataan daripada pejabatnya di United Kingdom (UK) dalam prosiding saman 1MDB terhadap Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi KL. 

Untuk makluman, Irwan Serigar pernah menjadi Pengerusi 1MDB manakala Arul Kanda pula menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Menurut kenyataan saksi Templeman, Jho Low pernah memindahkan dana 1MDB melalui Good Star antara AS$100,000 hingga AS$406,000 sekali bayaran untuk selebriti-selebriti terbabit.

Jho Low juga pernah memindahkan AS$2,025,000 kepada Pharrell Williams melalui Talamasca Inc.

Saksi itu mendakwa Jho Low dipercayai menggunakan dana perjanjian usaha sama di antara 1MDB dengan PetroSaudi Limited (PSI) dengan lebih AS$1.03 bilion telah diseleweng masuk ke dalam akaun Good Star milik ahli perniagaan tersebut.

1MDB telah memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion.

Ini juga berkaitan dengan pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang kemudian ditukar kepada Brazen Sky Limited investment dan dikatakan boleh didapati dalam Dana Bridge Global.

Kedua-dua defendan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana syarikat itu berjumlah US$3.5 bilion, yang dibayar kepada Aabar Investments manakala AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast