KEPALA BATAS – Lebih 300 kanak-kanak yang diselamatkan polis daripada Gabungan Ikhwan Sendirian Berhad (GISBH) telah memulakan sesi pembelajaran mengikut modul Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi pembelajaran bermula pada 1 Oktober lalu itu menunjukkan perkembangan yang positif dalam kalangan kanak-kanak tersebut.
“Saya bersama Ketua Pengarah Ketua Setiausaha (KSU) kementerian telah melakukan lawatan ke lokasi di mana kanak-kanak tersebut ditempatkan.
“Alhamdulillah kita melihat perkembangan pendidikan mereka (kanak-kanak GISBH) sangat baik dan modul KPM yang kita gunakan juga untuk memastikan mereka dapat mengikuti pendidikan secara langsung dan formal,” katanya.
Terdahulu Fadhlina merasmikan majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini hari ini.
Persidangan bertemakan ‘Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani’ itu di dihadiri 674 pengetua seluruh negara.
Pada 23 September lalu, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM akan mengambilalih aspek pendidikan ke atas lebih 300 kanak-kanak GISBH yang kini ditempatkan di rumah perlindungan, bermula 1 Oktober.
Tegas beliau, KPM akan melaksanakan pendidikan berdasarkan modul khas mengikut kohort pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Melalui fasa pertama ini, modul khas disediakan kerana mereka tidak berada dalam sesi persekolahan biasa dan arus perdana.
“Setakat ini kita buat penilaian 3M iaitu membaca, mengira dan menulis selain psikososial..kita sedang melakukan sesi bersama kaunselor KPM,” katanya. – MalaysiaGazette
















