KUALA LUMPUR – Sebanyak RM119 juta disalurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk peruntukan khas selenggara dan naik taraf (SNT) pada bulan ini kepada 1,553 Institusi Pendidikan Islam (IPI) berdaftar di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan khas berjumlah RM120 juta dengan siling RM150 juta itu telah diperuntuk secara sekali (one-off) beri oleh Kementerian Kewangan kepada Jakim tahun ini.
Katanya, bantuan berkenaan melibatkan sekolah pondok, sekolah tahfiz, sekolah agama serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh Malaysia.
“Jumlah tersebut adalah peruntukan secara one-off sebagai bantuan untuk disalurkan kepada IPI yang berdaftar dengan pihak berkepentingan negeri di seluruh Malaysia.
“Peruntukan khas berkenaan tidak diberikan secara automatik kepada IPI, sebaliknya perlu dimohon oleh semua IPI yang berdaftar melalui pihak berkepentingan negeri sebelum dikemukakan kepada Jakim bagi pertimbangan dan kelulusan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan satu akaun media sosial berkaitan jumlah sebenar peruntukan yang sepatutnya disalurkan oleh Jakim kepada IPI iaitu sekolah pondok, sekolah tahfiz, sekolah agama serta KAFA di seluruh Malaysia untuk tahun ini.
Mohd Na’im berkata, Jakim telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa agama negeri bagi menjelaskan prosedur berkaitan penyaluran peruntukan khas berkenaan.
“Kategori IPI yang layak memohon bantuan adalah institusi pondok swasta, institusi tahfiz swasta, sekolah agama rakyat, sekolah agama swasta, sekolah agama negeri, sekolah menengah agama negeri dan kelas agama fardhu ain di premis bukan kerajaan yang telah berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri,” ujarya.
Menurut beliau lagi, berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam Jakim yang berkuat kuasa, skop projek selenggara dan naik taraf yang layak dipertimbangkan bagi pembiayaan bantuan peruntukan khas tersebut meliputi enam kluster.
“Enam kluster itu meliputi aspek keselamatan, selenggara dan naik taraf infrastruktur, pencegahan kebakaran, pendawaian elektrik, selenggara dan naik taraf bangunan serta sistem perpaipan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















