KUALA LUMPUR – Kira-kira 36 ahli Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dari seluruh negara belajar kemahiran pengurusan media demi mewujudkan jalinan komunikasi berkesan membawa maklumat aktiviti mereka secara efektif kepada rakyat.
Rata-rata kesemua peserta yang mewakili setiap negeri dari utara hingga selatan Semanjung Malaysia itu tidak mensia-siakan peluang sebaliknya melibatkan diri sepenuhnya dalam bengkel yang julung kali diadakan di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia di sini.
Bengkel tiga hari dua malam yang berakhir pada 10 November lalu menyediakan pelbagai topik untuk dikupas para peserta bengkel bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pengurusan media mereka.

Bengkel itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ahmad Sabri Saad pada Jumaat lalu.
Turut hadir Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Strategik (COMSTAR) PPM, Muhammad Yusoff dan Pengarah Bengkel Pengurusan Media, Mohammed Sofian Baharom.
Dalam bengkel sama, para peserta juga teruja dengan peluang yang diperoleh dalam setiap sesi tersebut apabila turut mengasak pengetahuan dan kemahiran masing-masing menguji bakat sebagai pemberita televisyen di lokasi, penganjur dan juga pengulas berita di hadapan kamera.
Objektif utama bengkel yang diadakan dengan kerjasama Akademi Pengakap Negara adalah bertujuan untuk memperkukuhkan imej dan komunikasi PPM supaya terus relevan sesuai dengan tema ‘Sentiasa Berpengakap’.

Sebahagian daripada peserta Bengkel Pengurusan Media Pengakap selama tiga hari dua malam yang berakhir 10 November 2024 di Ibu Pejabat Pengakap Malaysia, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur -Ihsan Persekutuan Pengakap Malaysia.
Justeru bengkel yang sama turut menampilkan penceramah luar iaitu wakil Pramuka Indonesia, Naib Pengerusi 1 APR Communications & External Relations Subcommittee, Berthold Sinaulan yang berkongsi kepada para peserta bagaimana penubuhan Scout Journalist of Indonesia berjaya mempromosi misi dan visi pergerakan itu dalam kalangan anak muda.
Kesemua peserta bengkel turut menerima sijil penyertaan Bengkel Pengurusan Media Pengakap yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwan.
Pengisian dalam bengkel terbabit turut mendapat pujian Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin yang mahu usaha memperkukuhkan PPM sebagai entiti yang relevan merentasi zaman diteruskan.

Untuk rekod terkini, di negara ini terdapat seramai 300,000 ahli pengakap yang berdaftar dengan Persekutuan Pengakap Malaysia.- MalaysiaGazette
















