Transparency International Malaysia (TI-M)

KUALA LUMPUR- Ketiadaan mekanisme yang jelas dan kelompongan dalam Akta Pemberi Maklumat 2010 menyebabkan ramai yang takut untuk melaporkan kes rasuah.

Transparency International Malaysia (TI-M) dalam kenyataan hari ini berkata, beberapa klausa di dalam akta berkenaan juga dilihat mengurangkan keberkesanannya.

Contohnya, klausa di mana perlindungan kepada pemberi maklumat akan ditarik balik sekiranya pemberi maklumat tersebut didapati terbabit dengan salah laku berkaitan kes yang dilaporkan.

“Hal ini menyebabkan hanya sebilangan kecil pemberi maklumat yang berani untuk mendedahkan kes rasuah yang berlaku kerana faktor pecah amanah dan ketakutan akan impak tindakan mereka.

“TI-M menggesa agar tindakan lebih proaktif dilaksanakan dalam mengetengahkan reformasi terhadap akta ini setelah 14 tahun ia dikuatkuasakan.

“Kami percaya, sudah tiba masanya pindaan penambaikan terhadap akta ini dipertimbangkan demi perlindungan pemberi maklumat yang lebih baik,” katanya.

TI-M mengulas mengenai laporan media mengenai lapan video yang memaparkan beberapa ADUN didakwa membincangkan pemberian rasuah sebagai tanda sokongan terhadap projek di sebuah negeri, awal tahun ini.

Video tersebut juga menunjukkan terdapat seorang ahli perniagaan sedang membincangkan berkenaan terma pembayaran balik (repayment terms) bagi perlakuan rasuah berkenaan sejurus pembatalan lesen projek tersebut berlaku.

Laporan itu juga mendedahkan, pemberi maklumat tersebut bersedia untuk menyerahkan butiran lanjut dengan syarat dia akan diberikan perlindungan sewajarnya berdasarkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA).

Menurut TI-M, badan itu kekal teguh dan proaktif dalam menyebarkan kesedaran menentang elemen rasuah dan menyokong keberanian dan kejujuran pemberi maklumat.

Namun TI-M bimbang sekiranya tiada perlindungan utuh dijanjikan kepada pemberi maklumat, keyakinan mereka untuk menyampaikan kebenaran akan tergugat akibat ketidaktentuan proses keadilan.

“Kejujuran dan integriti adalah asas keadilan dalam membentuk sebuah negara demokrasi yang berdaya maju. Budaya pemberi maklumat ini akan menjadi tonggak utama dalam membanteras gejala rasuah di Malaysia.

“Namun, sokongan dan pengiktirafan kerajaan terhadap usaha murni sebegini wajar diketengahkan dengan lebih meluas. Kerajaan seharusnya memainkan peranan penting dalam melindungi pemberi maklumat sewajarnya.

“Keadilan haruslah menghargai kebenaran dalam menentang kezaliman,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast