Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Rang undang-undang (RUU) baharu bagi menubuhkan badan Ombudsman Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.

Menurut beliau, ketika ini, beberapa sesi bengkel cadangan dasar penubuhan Ombudsman telah diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, katanya, sesi libat urus holistik juga merangkumi perbincangan kumpulan berfokus dengan agensi-agensi kerajaan negeri di mana setakat ini, dua zon telah selesai menjalani sesi tersebut iaitu zon Utara dan zon Sabah.

“Sesi libat urus holistik ini akan diteruskan di peringkat zon Sarawak, Timur, Selatan dan Tengah sebelum dimuktamadkan di peringkat agensi Pusat menjelang suku pertama tahun depan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) berhubung status penubuhan Ombudsman Malaysia dan garis masa yang ditetapkan bagi pelaksanaan usaha tersebut.

Menjelaskan lebih lanjut, Kulasegaran berkata, Jemaah Menteri pada 12 Jun lalu juga bersetuju supaya sesi libat urus holistik dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama BPA dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) selama tiga bulan bagi menentukan mekanisme penubuhan dan pelaksanaan Ombudsman Malaysia.

Katanya, sesi libat urus holistik itu adalah amat diperlukan bagi meneliti secara terperinci beberapa aspek dasar dan teknikal berhubung penubuhan badan baharu tersebut.

Tambah beliau, ia termasuk analisis kajian fungsi untuk menyiasat aduan, bidang kuasa untuk menangani isu salah tadbir (maladministration) dalam penyampaian perkhidmatan awam, keperluan kewangan dan sumber manusia badan baharu terbabit.

Selain itu, sesi libat urus holistik ini akan juga meneliti kebolehlaksanaan cadangan supaya Ombudsman Malaysia memainkan peranan sebagai sebuah agensi berpusat di bawah cadangan pindaan-pindaan kepada Akta Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] yang sedang diusahakan oleh BHEUU, JPM pada masa ini.

“Kesemua aspek-aspek ini perlu diperhalusi dan dibincangkan bersama dengan semua pihak-pihak berkepentingan yang terlibat dalam usaha ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast