Seorang remaja maut selepas kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kebun Baru, Bukit Serampang, Tangkak pada Ahad lalu.

TANGKAK – Seorang remaja menghembuskan nafas terakhir semalam selepas lima hari bertarung nyawa akibat kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kebun Baru, Bukit Serampang di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, remaja perempuan berusia 15 tahun itu sebelum ini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

Roslan berkata, kemalangan tersebut yang melibatkan motosikal ditunggang mangsa dengan kereta Proton Saga dan Proton Persona berlaku pada pukul 9.30 malam.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu Proton Saga dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Kundang Ulu di sini.

”Apabila sampai di lokasi kejadian, Proton Saga tersebut memotong sebuah kenderaan dan pada masa sama datang Proton Persona dari arah bertentangan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat pemandu Proton Saga itu tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Persona berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut, remaja berkenaan dan dua pemandu kereta terbabit dibawa ke HPSF dengan menggunakan ambulans untuk mendapat rawatan.

Bagaimanapun ujar Roslan, remaja terbabit meninggal dunia di hospital berkenaan ketika mendapat rawatan.

Menurut beliau, kemalangan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang dan peraturan supaya kemalangan dapat dielakkan.

Tambahnya, sebarang maklumat bagi membantu pihak polis boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul Azmi Ibrahim 011-12445836.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast