Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) sambil diiringi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (hadapan, empat kanan) bergambar kenangan bersama pekerja sektor awam dan sektor swasta pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Pekerja di negara ini diraikan dalam suasana penuh harmoni, aman dan sejahtera tanpa insiden kontroversi, konfrontasi dan mogok pekerja sebagaimana berlaku di sesetengah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keadaan itu disebabkan wujudnya hubungan baik lagi harmonis antara rakan tripartite iaitu kerajaan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Katanya, hubungan baik itu telah menjadikan mereka semakin akrab dan positif sehingga sebarang pertikaian serta masalah yang wujud dapat diselesaikan atas prinsip musyawarah.

“Lebih membanggakan, apabila hubungan baik antara majikan dengan pekerja dan kerajaan ini telah diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia dan Laporan Daya Saing Global (GCR) 2017 hingga 2018.

“Dua pihak ini yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-20 daripada 137 negara, melalui aspek kerjasama dalam hubungan majikan-pekerja,” katanya berucap pada majlis Amanat Khas Perhimpunan Hari Pekerja 2018 peringkat kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Richard Riot Jaem; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda; Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor dan Naib Presiden MEF, Abdul Wahab Abu Bakar.

Menurut Najib, sudah tentu beliau mengharapkan hubungan kukuh yang sudah terjalin itu akan terus berkekalan selamanya ibarat ‘aur dengan tebing’ dan umpama ‘kuku denga isi’.

Katanya, jika sebelum ini beliau ada menyatakan warga penjawat awam yang berjumlah 1.6 juta sebagai pendokong dan kawan setia kepada kerajaan kini majikan dan 742 kesatuan sekerja di seluruh negara yang jumlahnya melebihi 14 juta orang ibarat ‘darah daging’ kepada kerajaan dan negara.

Sehubungan itu, beliau mengajak warga pekerja, baik sektor awam mahupun swasta berpegang teguh kepada nilai atau prinsip wala’ sebagai asas kestabilan, kecemerlangan dan kemakmuran negara yang berterusan pada masa mendatang.

“Dalam perspektif ini, wala’ itu jika merujuk kepada pandangan jumhur ulama, bererti nilai seperti cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan baiah yang wajib kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan yang dijunjung itu, termasuk tuntutan mentaati pimpinan atau ulil amri.

“Apatah lagi, pimpinan kerajaan selama ini, telah melakukan segala usaha dan inisiatif dalam menjaga kebajikan serta mendahulukan kepentingan rakyat terbanyak khususnya kepada golongan B40 dan negara amnya.

“Pada sudut ini, ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, wala’ adalah sampai kepada tahap wajib diberikan kepada kerajaan masa kini, yang telah dipilih secara sah oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi,” katanya.

Justeru, kata Najib, sebagai menghargai wala’ dan kesetiaan warga pekerja di seluruh tanah air kepada kerajaan serta negara selama ini, beliau mengumumkan pemberian geran khas kepada Kesatuan Sektor Swasta sebanyak RM3 juta.

Berhubung memperkasa golongan wanita dalam pekerjaan, Najib berkata, dalam masa tujuh tahun beliau menjadi Perdana Menteri, hasil daripada pelbagai program pengupayaan dilakukan kerajaan terhadap wanita, kadar penyertaan mereka meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada 54.3 peratus pada tahun 2016 berbanding 80.2 peratus bagi lelaki.

“Ini bermakna, kita berjaya mengurangkan perbezaan penyertaan wanita dan lelaki dalam pasaran buruh, yang menguncup sebanyak 6.6 peratus kepada 25.9 peratus.

“Untuk tempoh lima tahun lagi, kita akan terus pastikan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta akan ditingkatkan secara progresif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast