Muhammad Faris Arriffin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa supaya segera memasukkan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai subjek teras dalam kurikulum sekolah dan universiti.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faris Arriffin berkata, negara seperti China, Singapura, Korea Selatan, Estonia dan Finland telah mewajibkan pendidikan AI bagi membina generasi yang bukan sekadar pengguna tetapi pencipta teknologi.

“Dengan kemunculan AI canggih seperti ChatGPT, DeepSeek, Qwen dan Gemini serta pasaran AI global yang diunjurkan mencecah AS$15.7 trilion menjelang 2030 (PwC), Malaysia mesti bertindak pantas agar tidak ketinggalan dalam persaingan global,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tujuan itu beliau berkata, Pemuda Amanah mencadangkan tiga langkah utama iaitu AI perlu dijadikan sebagai subjek wajib bermula dari sekolah rendah hingga universiti bagi membangunkan asas pemikiran digital sejak awal;

“Kedua, pembinaan makmal AI dan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi utama seperti Google, Microsoft dan Nvidia yang telah melabur lebih AS$6 bilion dalam pusat data di Asia Tenggara.

“(dan) peruntukan dana sekurang-kurangnya RM500 juta setahun bagi membangunkan kurikulum AI, latihan tenaga pengajar dan infrastruktur pendidikan digital setanding dengan UK yang memperuntukkan £100 juta setahun untuk pendidikan AI (Gov.UK),” jelasnya.

Tambah beliau, Malaysia berpotensi menjadi hab inovasi AI di rantau ini, tetapi tanpa strategi pendidikan yang jelas, negara berisiko menjadi sekadar pengguna teknologi asing.

Katanya, KPM dan Kementerian Pengajian Ttinggi perlu bertindak segera untuk memastikan generasi muda Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi pencipta AI yang mampu membawa negara ke hadapan dalam revolusi teknologi global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast