KUALA LUMPUR – Sekumpulan mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan menentang rasuah baru-baru ini menyatakan kesediaan mereka untuk terus berjuang walaupun didakwa berhadapan dengan tekanan pihak berkuasa.
Wakil Sekretariat Benci Rasuah, Muhammad Zaim Zulkifli Ariff berkata, semua yang disiasat merupakan mereka yang berucap dalam perhimpunan tersebut.
“Tetapi, pelik mengapa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan bukan di bawah Akta Hasutan atau akta lain.
“Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan ingin menakut-nakutkan mahasiswa agar tidak lagi bersuara menentang ketidakadilan yang berlaku,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beliau yang juga merangkap sebagai Timbalan Pengerusi Dua Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) turut mempersoalkan sekiranya suara anak muda perlu disenyapkan melalui intimidasi dan siasatan.
“Pemimpin kerajaan hari ini pernah berada di pihak pembangkang dan mengalami tekanan yang sama ketika menuntut keadilan. Jika sebelum ini mereka melaungkan reformasi, mengapa prinsip keadilan kini mahu dikuburkan?” soalnya.
Muhammad Zaim Zulkifli turut menegaskan mereka tidak akan tunduk kepada tekanan dan berikrar untuk terus menentang rasuah serta memperjuangkan keadilan.
Pihaknya turut meminta kerajaan menghentikan sebarang bentuk penindasan terhadap suara rakyat dan menunaikan janji reformasi.
“Jika kerajaan benar-benar menjunjung prinsip madani, ia harus dibuktikan dengan tindakan, bukan sekadar retorik,” ujarnya.
Hari ini, seramai 10 orang mahasiswa daripada pelbagai universiti telah dipanggil berhubung penyertaan mereka dalam Perhimpunan Mahasiswa Benci Rasuah yang telah diadakan pada 25 Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya mengesahkan 10 mahasiswa berkenaan selesai memberi keterangan bersama lima peguam di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi.- MalaysiaGazette

















ada pehak yang sengaja sabotaj kerajaan madani . itu sebab berlaku pertentangan kerajaan dan undang-undang.