KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan mencadangkan supaya skim insurans perubatan mampu milik yang meliputi perlindungan sehingga umur 99 tahun diperkenalkan bagi meringankan beban kos rawatan golongan M40 dan warga emas.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, pendekatan itu boleh dilaksanakan melalui penambahbaikan atau peluasan Program i-Lindung dengan penyediaan subsidi bersasar dan penglibatan rapat syarikat insurans untuk memastikan premium kekal berpatutan.
Jelas beliau, perkongsian kos bersama sektor swasta, tanggungan kewangan kerajaan dapat dikurangkan dan kerajaan boleh menumpukan kepada penetapan parameter serta standard perkhidmatan.
“Usaha ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan perubatan, seterusnya memastikan simpanan persaraan mencukupi untuk menampung kos sara hidup selepas persaraan.
“Saya mohon agar cadangan ini dipertimbangkan dan dibincangkan lebih lanjut untuk memastikan pelaksanaannya dapat memberi manfaat yang optimum kepada rakyat,” katanya pada sesi kamar khas di Parlimen hari ini.
Menurut Choon Man, pada masa ini, sebahagian besar simpanan KWSP rakyat dihabiskan untuk membiayai kos rawatan perubatan sebelum mereka beralih ke fasiliti kesihatan awam.
Keadaan itu, ujar beliau,menjejaskan matlamat asal KWSP untuk menjamin kelangsungan hidup selepas persaraan.
“Salah satu cabaran utama yang dihadapi ialah kos premium insurans perubatan yang meningkat, khususnya bagi warga emas.
“Kenaikan kos premium ini menyebabkan ramai individu tidak mampu meneruskan perlindungan insurans pada saat mereka paling memerlukannya.
“Ketiadaan perlindungan insurans yang mencukupi boleh menyebabkan beban kewangan yang berat akibat kos rawatan yang tinggi, sekali gus menjejaskan perancangan persaraan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membuat perbandingan di Singapura yang mana negara itu telah memperkenalkan MediShield Life dengan kerjasama sektor swasta untuk menyediakan perlindungan kesihatan asas pada kadar premium yang berpatutan.
Sementara itu, ujarnya, Australia pula menggalakkan penyertaan insurans swasta melalui insentif cukai yang membantu mengurangkan beban dana awam.
“Pendekatan ini membolehkan kos premium dikawal dengan lebih baik dan akses kepada rawatan kesihatan yang lebih luas untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















