Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedia mempertimbangkan untuk menaikkan hukuman bagi kesalahan penggunaan logo halal.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu sedang dibincangkan kementeriannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum dimuktamadkan.

“Terkait hukuman kesalahan dilakukan sememangnya ada syor  untuk kita meningkatkan kerana ini terkait dengan isu sensitif masyarakat Islam dan kita sedang membincangkan dengan Jakim, pihak berkaitan bagi meningkatkan hukuman untuk kesalahan terkaitan penggunaan logo halal ini,” katanya pada sesi penggulungan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pencelahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta kerajaan menaikkan hukuman bagi kesalahan penggunaan logo halal yang dilihat terlalu rendah ketika ini.

Menurut Armizan, pihaknya juga sedang mempertimbangkan hukuman terhadap premis yang gagal membuat semakan status halal sebelum menerima produk dari pembekal untuk dijual.

“Kita harap  pasar raya juga memain peranan semak sumber bekalan produk yang dimasukkan ke premis mereka melalui portal halal.

“Kita juga sedang pertimbang supaya tindakan terhadap pihak (pasar raya) yang buat kesilapan tidak menyemak status halal kerana kebertanggungjawaban itu perlu, kita tidak mahu ada pihak boleh lepas tangan,” katanya.

Pada 11 Januari lalu, Universiti Malaya mengarahkan penutupan dua cawangan kedai serbaneka KK Mart di kampusnya berikutan status halal terhadap produk sandwichnya yang diragui sehingga mencetuskan kontroversi.

Bagaimanapun, pada 15 Januari lalu, Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd berkata, bahan digunakan untuk produk ham and cheese sandwich itu menggunakan ramuan yang mempunyai sijil halal.

Terbaharu, Jabatan Kimia telah mengesahkan bahawa tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir dalam semua sampel setiap perisa sandwich yang didapati menyalah guna logo halal.

Namun, syarikat pengeluar sandwich itu dan pengarahnya menghadapi 14 pertuduhan berkaitan penggunaan logo halal tanpa kebenaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast