KUALA LUMPUR – “Jangan jolok sarang tebuan, kamu belum sampai lagi tahap lawan kami (pembangkang) dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan (penjualan saham) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).”
Demikian kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kepada Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Mohammad Ammar Attan yang mendakwanya dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengeluarkan kenyataan bahawa KWSP kini berada dalam keadaan kritikal.
“Saya ingin menjawab pertuduhan fitnah yang dilemparkan ke atas saya dan Ahli Parlimen Ayer Hitam (Ka Siong) yang dikatakan cuba menimbulkan kegusaran, panik, konon-konon memgenai dividen KWSP.
“Tolong semak balik senarai penyata rasmi (hansard),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal mencabar Mohammad Ammar menyaman beliau dan Ahli Parlimen Ayer Hitam itu sekiranya benar mereka memfitnah.
Beliau yang menafikan mengeluarkan kenyataan sedemikian berkata, selaku pihak yang berperanan untuk mempertahankan kerajaan, Angkatan Muda Harapan sepatutnya peka dengan isu semasa dan fakta yang perlu disuarakan.
“Saya faham sebagai ahli politik kerajaan kamu perlu menjadi benteng kerajaan tapi janganlah tabur fitnah kepada kami, pembangkang yang cuba menyemak imbang dalam soal penjualan saham ini,” tegasnya.
Tambah beliau, Mohammad Ammar tidak sepatutnya menyerangnya dan Ka Siong, sebaliknya mempersoalkan sebab KWSP memberi dividen yang tinggi pada kali ini.
“Pemuda Pakatan Harapan patut tanya, kenapa agaknya, KWSP sanggup bagi dividen yang tinggi kali ini? Ini di luar kebiasaan.
“Saya nak tanya juga, apakah kerana mungkin kritikan semakin kuat ke atas pengurusan KWSP oleh pembangkang menyebabkan mereka cuba pacify (menenangkan) para pencarum? Itu soalan kami kepada KWSP,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, Angkatan Muda Harapan juga sepatutnya membantu kerajaan menyelesaikan isu bekalan beras tempatan yang berlanjutan sehingga kini.
“Kalau kamu dapat selesaikan masalah itu ternyata kamu buat kerja sebagai penjilat tegar dalam kerajaan Madani, kalau tidak kamu sebenarnya tembak peluru kapur kepada saya dan Yang Berhormat Ayer Hitam (Ka Siong),” katanya.
Sebelum ini, Mohammad Ammar dilaporkan mendakwa Wan Ahmad Fayhsal dan Ka Siong cuba menimbulkan panik dalam kalangan rakyat dengan mendakwa KWSP berada dalam keadaan kritikal dan bakal memberikan dividen rendah. – MalaysiaGazette















