Norliza dan pengurusan PTPTN bergambar bersama pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan tradisinya berkongsi rezeki bersama warga institusi pendidikan serta komuniti setempat menerusi Pogram Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) Tahun 2025.

Program akan berlangsung di 15 buah Universiti Awam (UA)/ Politeknik/ Kolej Komuniti dan Sekolah terpilih di seluruh negara bermula 5 Mac hingga 20 Mac 2025.

Program dimulakan dengan perasmian dan pelepasan yang disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di Menara PTPTN.

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Zainah Rujihan, pengurusan PTPTN dan pelajar-pelajar PSA.

“Program IMRAN merupakan program signatur di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN yang diadakan sejak tahun 2021 bertujuan mengeratkan ukhwah silaturrahim serta hubungan baik antara PTPTN dan institusi pendidikan, memupuk nilai-nilai kebersamaan dan kasih sayang dalam masyarakat.

“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan pada tahun ini, program ini diteruskan lagi buat tahun yang kelima bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini,” kata PTPTN dalam kenyataan hari ini.

Sesi flag off sebagai simbolik pelepasan bantuan Skuad PTPTN Prihatin menjelajahi 15 buah Universiti Awam (UA)/ Politeknik/ Kolej Komuniti dan Sekolah terpilih.

Sementara itu, Norliza pula berkata, program IMRAN bukan sekadar membantu pelajar dan komuniti yang memerlukan tetapi juga mengukuhkan hubungan kekeluargaan PTPTN dengan institusi pendidikan melalui kerjasama yang erat.

“Melalui program ini, warga PTPTN, para pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan akan bergotong-royong untuk menyediakan bubur lambuk, bubur manis atau makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada pelajar dan masyarakat setempat.

“Dianggarkan lebih 10,000 masyarakat serta pelajar akan menerima juadah berbuka puasa yang akan diagihkan pada tahun ini. Diharapkan sumbangan PTPTN ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan di bulan Ramadan ini,” tambah beliau dalam kenyataan yang sama.

Menurut Norliza, PTPTN berharap kolaborasi seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai pelajar serta masyarakat turut serta dan mendapat manfaat.

“Sebagai institusi yang komited terhadap kelestarian pendidikan negara, PTPTN akan terus memperkasakan IMRAN sebagai medium kebajikan dan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan bagi memberi impak positif kepada semua pihak,” katanya.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast