Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika beramah mesra bersama peniaga pada program Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2025 di Bazar Ramadan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 MAC 2025

PUTRAJAYA – Orang ramai boleh membuat aduan menerusi aplikasi WhatsApp aduan kebersihan premis makanan yang merupakan satu langkah advokasi dalam memantau kebersihan makanan di bazar-bazar Ramadan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, platform baharu itu membolehkan orang ramai menyalurkan aduan berkaitan kebersihan premis makanan dengan lebih mudah dan pantas.

Platform tersebut melengkapkan ekosistem saluran aduan sedia ada seperti telefon, emel, media sosial, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) serta aduan secara terus di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau JKN.

“Aduan melalui WhatsApp ini boleh dibuat sepanjang tahun. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia terus memperkukuh pemantauan keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual di bazar memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang telah ditetapkan.

“Pemantauan dibuat merangkumi keseluruhan rantaian bekalan makanan, dari sumber bahan mentah hingga ke penyediaan dan penjualan di bazar Ramadan.

“Ini termasuk pemeriksaan ke atas premis penyediaan makanan, kilang ais, restoran serta gerai makanan yang dilesenkan oleh PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Walkabout Bazar Ramadan 2025 dan Pelancaran Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan di Bazar Ramadan, Presint 3 hari ini.

Turut serta pada sesi walkabout itu adalah timbalannya, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Mengulasn lanjut, Dr  Dzulkefly berkata, langkah yang diambil oleh KKM itu bertujuan memastikan pematuhan kepada perundangan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya serta mencegah risiko pencemaran dan memastikan keselamatan makanan kepada  pengguna.

Tegasnya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati juadah berbuka puasa yang selamat, bersih dan berkualiti sepanjang bulan Ramadan, bebas daripada risiko insiden keracunan makanan.

Katanya lagi, PKKM akan terus memperkasakan kempen keselamatan makanan bagi memastikan pengendali makanan dan peniaga bazar Ramadan mengamalkan kebersihan dan pengendalian makanan yang selamat bagi melindungi kesihatan pengguna.

“Ini termasuk penyediaan makanan secara bersih, penggunaan peralatan yang sesuai, serta pematuhan terhadap peraturan pengendalian makanan bagi memastikan makanan yang dijual selamat untuk pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menyarankan agar orang ramai mengamalkan prinsip perhati dan pilih, iaitu memilih gerai yang bersih dan pengendali yang mengamalkan amalan pengendalian makanan yang baik.

Pengguna juga, katanya, digalakkan supaya mengamalkan langkah lihat, hidu, rasa sebelum menikmati juadah berbuka puasa sebagai langkah asas mengelakkan keracunan makanan.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan atau ingin membuat aduan mengenai keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi mana-mana pusat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri JKN terdekat.

Aduan juga boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di  http://moh.spab.gov.my atau facebook PKKM di https://www.facebook.com/bkkm_official atau menerusi whatsapp aduan kebersihan premis makanan di talian 012-8484378. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast