KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Prof. Dr. Maszlee Malik berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mengambil teguran berkenaan simptom kemerosotan pendidikan negara secara serius, seterusnya mengambil langkah sepatutnya.
Menurut beliau, teguran yang dibuat oleh pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad, bukan bertujuan menuding jari, tetapi merupakan teguran supaya pihak berwajib lebih bersikap terbuka.
Jelasnya, teguran itu juga merangkul semua pihak untuk melakukan sesuatu secara tersusun, berstrategi, telus dan juga dengan penuh akauntabiliti.
“Berbanding politikus yang tiada asas pendidikan dan pedagogi yang mencanang isu pendidikan dari aspek perkauman mahupun politik komunal dan kepartian, golongan pakar tidak mempunyai kepentingan.
“Mereka hanya inginkan kebaikan dan yang terbaik buat nusa dan bangsa,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Maszlee merujuk kepada pandangan Anuar yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berkongsi berkenaan simptom-simptom dalam pendidikan, memberi petunjuk kepada kemerosotan yang sistemik serta berterusan.
Menurut Anuar, antara simptom itu adalah jumlah murid aliran sains tulen ketika ini merosot sehingga hanya tinggal 15 peratus serta lebih 50 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi mahu menyambung pelajaran.
Selain itu, tambah Anuar, simptom yang perlu diperhatikan juga apabila semakin ramai guru memilih bersara awal serta pusat tuisyen dan sekolah pensendirian kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan.
Simptom lain, ujar Anuar, apabila semakin ramai ibu bapa bumiputera memilih sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah antarabangsa untuk anak-anak mereka serta semakin ramai ibu bapa dan guru menyuarakan kekecewaan di media sosial tentang isu pendidikan. – MalaysiaGazette
















