FOTO Yayasan Food Bank Malaysia

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi pesawat A400M dari No 8 Skuadron menerbangkan sebanyak 1,000 kotak Ready-to-Eat Food (RTEF) ke Kota Kinabalu, Sabah semalam bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu.

RTEF tersebut merupakan sumbangan Lembaga Tabung Haji melalui dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Zakat yang diuruskan dan akan diagihkan oleh Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM).

Menurut TUDM, penerbangan itu merupakan sebahagian inisiatif Civil Military Cooperation (CIMIC) yang dilaksanakan TUDM dalam mengukuhkan hubungan antara tentera dan masyarakat seperti teras keempat dalam Pelan Strategik Mindef 2021-2025.

FOTO Yayasan Food Bank Malaysia

“Semoga usaha dan tanggungjawab sosial yang dilaksanakan oleh TUDM ini dapat membantu agensi-agensi terlibat dalam mengagihkan bantuan dengan segera kepada mereka yang memerlukan.

“Sekalung penghargaan kepada anak kapal No 8 Skuadron dan anggota Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara (PU) Subang yang melancarkan urusan memuatkan barangan serta semua petugas termasuk para sukarelawan dan semua pihak yang terlibat menjayakan misi penghantaran ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook TUDM hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, situasi banjir di Sabah dilaporkan semakin pulih pagi ini apabila jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 2,655 orang berbanding 3,114 orang semalam. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast