KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan jaminan bahawa sumber makanan negara sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah-langkah strategik sedang diambil bagi menjamin kestabilan bekalan makanan serta mengelakkan sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan.
Kementerian juga berusaha untuk menarik minat lebih ramai anak muda, terutamanya dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera, untuk berkecimpung dalam sektor pertanian.
Perkara ini dizahirkan kementeriannya dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi.
Dalam hantaran di Facebook, Mohamad berkata, usaha itu bagi melahirkan generasi pelapis yang mampu menjadi penggerak utama industri pertanian negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Kementerian yakin dengan penyertaan aktif golongan muda dan sokongan berterusan daripada kerajaan, sektor pertanian negara akan terus berkembang maju serta mampu memenuhi keperluan rakyat secara berterusan,” katanya lagi.
Februari lalu di Dewan Rakyat, Mohamad berkata, KPKM telah melaksanakan beberapa langkah awal bagi memastikan bekalan makanan utama mencukupi menjelang musim perayaan, sekali gus mengelak berlakunya kenaikan harga barangan di pasaran.
Antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dianggar membeli 188.89 tan ayam dan 2,486,022 biji telur ayam secara belian terus melalui 42 pusat operasi di seluruh negara.
Melalui langkah intervensi pemasaran kelapa tua dengan kerjasama FAMA Corporation Sdn Bhd, syarikat itu akan membeli 640 tan kelapa tua, selain mengimport 576 tan kelapa dari Indonesia.
Malah FAMA membuka pasaran kepada pengeluar bagi memasarkan hasil pertanian terus kepada pengguna, meliputi penjualan sayur, buah dan hasilan ternakan. – MalaysiaGazette
















