Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata istiadat pelantikan dan angkat sumpah menteri besar Selangor akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, pukul 3 petang esok.

“Sultan Selangor juga berkenan supaya pentadbiran kerajaan negeri Selangor dibentuk secepat mungkin selepas mendapat mandat daripada rakyat demi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri dan keharmonian serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Munir berkata Mohamed Azmin telah menghadap Sultan Sharafuddin pada pukul 12 tengah hari untuk menyembah maklum kepada baginda mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Selangor dan situasi semasa dalam pimpinan Pakatan Harapan.

Menurutnya, Mohamed Azmin juga telah menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau telah mendapat sokongan daripada anggota-anggota Dewan Negeri Selangor bagi parti Pakatan Harapan untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

–BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast