Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki merayu supaya pelajar tidak berasa ragu untuk melaporkan perbuatan buli yang berlaku di asrama.

Menurutnya, pelajar tidak seharusnya risau atau bimbang dilabel dengan pelbagai gelaran seperti ‘jibam’, ‘Mat Repot’ atau ‘barua’ dan sebagainya hanya kerana membuat laporan berkenaan insiden buli.

Kata beliau, pelajar juga tidak boleh sesekali membiarkan diri mereka mahupun rakan-rakan lain menjadi mangsa buli dalam apa jua bentuk sekali pun, dan perlu berani tampil membuat laporan.

Caatan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan isu buli di laman sosial Facebook beliau hari ini.

“Kita kena sama-sama hentikan budaya buli. Tiada tempat untuk pembuli mahupun sebarang bentuk budaya buli di IPMA (Institusi Pendidikan Mara) termasuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara).

“Jika saya tahu ada pihak yang cuba tutup atau pertahankan pembuli mahupun kes buli, tindakan amat tegas akan diambil termasuk ke atas Pengetua, Pengarah, Warden, Guru atau sesiapa sahaja,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, selama dua tahun saya menerajui Mara, ruangan media sosial sama ada di Facebook, Instagram, Tiktok mahupun X menjadi ruangan yang dimanfaatkan sepenuhnya beliau untuk mendapatkan maklum balas semua pihak ke arah menambah baik potensi institusi yang menjadi payung kepada agenda Melayu-Bumiputera.

“Bila saya mula #Terjah ke Institusi-institusi Pendidikan MARA (IPMA), semuanya berdasarkan aduan dan maklumbalas ibubapa, pelajar dan pendidik.

“Alhamdulillah banyak perkara seperti isu kartel dan kualiti dewan selera, makanan, tandas, asrama, bilik guru dan fasiliti lain di IPMA berjaya diselesaikan,” katanya.

Sebelum ini, Mara menamatkan serta-merta pengajian tujuh pelajar yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah MRSM di Pulau Pinang.

Ia selepas satu rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast