Anggota bomba mengangkat mayat nelayan yang lemas selepas terjatuh dari bot ketika menjaring udang di perairan Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, semalam

PASIR GUDANG – Seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh dari bot ketika menjaring udang di perairan Pelabuhan Johor kelmarin, ditemui meninggal dunia semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Ronney Teo Abdullah berusia 49 tahun dan merupakan Orang Asli.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Hazrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada pukul 1.10 petang kelmarin.

Katanya, seramai 28 anggota BBP Pasir Gudang, BBP Skudai BBP Johor Jaya dan BBP Larkin terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati seorang lelaki dewasa telah terjatuh dari bot semasa menjalankan aktiviti menjaring udang berhampiran perairan antarabangsa Malaysia-Singapura, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh abang mangsa.

“Selaman dilakukan oleh tiga penyelam pada kedalaman 20 meter. Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada pukul 6.50 petang disebabkan keadaan cuaca yang gelap serta lalu lintas perkapalan yang sibuk berhampiran pelabuhan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut beliau, pada pukul 1.45 petang, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan jatuh oleh abang mangsa sendiri.

“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.40 petang. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“SAR kali ini turut membabitkan anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Johor Port dan Bomba Johor Port,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast