SHAH ALAM – Proses siasatan letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya berdepan kesulitan kerana hujan setiap hari sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, agensi yang terlibat dalam siasatan kini berada di expose ground bagi mendapatkan spesimen yang berkaitan.
“Sebahagian spesimen telah diambil oleh agensi tindak balas dan masih menunggu satu lagi serpihan yang paling bawah. Jadi akibat cuaca hujan minggu ini kerja kerja ini terganggu,” katanya ketika sidang media di IPK Selangor hari ini.
Ujarnya, meskipun laporan mengenai kejadian berkenaan dijangka siap dalam tempoh seminggu namun faktor cuaca menjadi antara yang menyukarkan proses tersebut.
Sementara itu, Hussein berkata, polis akan membawa pengamal media ke tapak kejadian Rabu depan bagi meninjau sendiri proses siasatan dilakukan oleh pihak yang terlibat.
“(Lawatan itu) supaya kamu semua boleh tengok sendiri betapa sukarnya siasatan ini,” katanya lagi.
Jumaat lalu, Hussein berkata, laporan awal insiden di Putra Heights pada 1 April lalu dijangka siap dalam tempoh seminggu.
Kejadian itu mengakibatkan 219 rumah terjejas, manakala 220 rumah disahkan selamat dan tidak terkesan.
Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan teruk, manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus. – MalaysiaGazette
















