KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas menegur kesilapan pada tajuk berita Malaysia Gazette ‘Secara peribadi saya tidak akan sertai Chingay, upacara ada khurafat – Firdaus Wong’ yang disiarkan pada 25 April.

Beliau berkata, apa yang ditulisnya dalam isu yang melibatkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah menggunakan ayat ‘tidak pernah’.

“Saya tulis ‘Secara peribadi, saya tidak pernah menyertai atau terlibat dalam Chingay”. MG pula tulis; “Saya tidak akan sertai Chingay’.

“Mohon MalaysiaGazette perbetulkan tajuk kerana apa yang saya tulis dan apa yang ditonjolkan MG adalah berbeza,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Sementara itu MalaysiaGazette telah membetulkan tajuk serta pada para pertama artikel berkenaan dan menukar perkataan ‘tidak akan’ kepada ‘tidak pernah’.

MalaysiaGazette memohon maaf atas kesilapan yang berlaku secara tidak sengaja dan mengundang fitnah terhadap pendakwah bebas berkenaan.

Dalam perkongsiannya sebelum itu Firdaus Wong berkata, dia secara peribadi tidak pernah menyertai perayaan Chingay atau mana-mana perayaan yang bersifat khurafat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menunjukkan bakat mengangkat bendera gergasi. Foto FB Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penglibatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam perarakan Chingay.

“Secara peribadi, saya tidak pernah menyertai atau terlibat dalam Chingay atau mana-mana upcara yang mempunyai elemen khurafat. Untuk memupuk perpaduan dan keharmonian serta toleransi tidak semestinya kita mesti meraikan semua perayaan bersama.

“Memadailah kita hormat hak satu sama lain untuk meraikan apa yang mahu diraikan tanpa perlu kita perlu terasa andai pihak lain tidak mahu turut serta,” katanya.

Menurut beliau, ahli politik Islam perlu mencontohi ahli politik beragama Hindu yang tidak bersama-sama melapah serta mengedarkan daging lembu ketika Hari Raya Korban bersama pengundi di kawasan masing-masing.

Tambahnya, ahli politik muslim juga perlu melakukan perkara sama iaitu tidak perlu menyertai sambutan keagamaan masyarakat lain hanya untuk menunjukkan kebersamaan mahupun meraih undi.

Firdaus menambah, bagi mendapatkan hukum lebih jelas mengenai pembabitan orang Islam dalam perayaan Chingay pihak berkaitan boleh merujuk kepada jabatan agama dan mufti.

Dalam perkongsian di media sosial, beliau berkata, Chingay yang telah wujud berabad lama diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina bagi merayakan tarikh lahir dewa-dewa Cina.

Chingay turut dikenali sebagai perarakan Dewi Kwan Yin yang merupakan kemuncak kepada perayaan Chap Goh Meh.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Secara peribadi saya tidak pernah sertai Chingay, upacara ada khurafat – Firdaus Wong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast