Audrey Backeberg. foto Wisconsin Missing Persons Advocacy, Inc

CHICAGO – Seorang wanita yang hilang selama hampir 63 tahun telah ditemui hidup dan dalam keadaan sihat selepas kes kehilangannya disemak semula.

Polis di negeri Wisconsin, Amerika Syarikat berkata, Audrey Backeberg berusia 20 tahun apabila dia hilang dari rumahnya di bandar kecil Reedsburg pada 7 Julai 1962.

Dalam satu kenyataan, Polis Daerah Sauk, Chip Meister berkata, kehilangan Backeberg “adalah atas pilihannya sendiri dan bukan akibat sebarang aktiviti jenayah.

Menurutnya, wanita itu kini tinggal di luar Wisconsin, tetapi tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Menurut Wisconsin Missing Persons Advocacy, Backeberg telah berkahwin dan mempunyai dua anak semasa dia hilang.

Kumpulan itu berkata, beberapa hari sebelum dia hilang, Backeberg yang kini berusia 82 tahun, telah memfailkan aduan jenayah terhadap suaminya, yang dikahwininya pada usia 15 tahun.

Wanita itu mendakwa dia telah dipukul dan diancam bunuh oleh suaminya.

Pada hari dia menghilangkan diri, Backeberg meninggalkan rumah untuk mengambil cek gajinya dari kilang tempat dia bekerja.

Pengasuh kepada pasangan itu memberitahu polis dia dan Backeberg ke Madison, ibu negeri Wisconsin, dan dari sana mereka menaiki bas ke Indianapolis, Indiana, kira-kira 480 kilometer.

Pengasuh itu kemudian menjadi gementar dan ingin pulang ke rumah, tetapi Backeberg enggan dan ia adalah kali terakhir wanita itu dilihat berjalan meninggalkan perhentian bas.

Pejabat Polis Daerah Sauk berkata, penyiasat mengejar banyak petunjuk dalam kes itu tetapi ia menjadi dingin sebelum semakan komprehensif fail kes lama dijalankan awal tahun ini.

Detektif yang menyelesaikan kes itu, Isaac Hanson, memberitahu stesen berita tempatan WISN, akaun keturunan dalam talian milik kakak Backeberg adalah penting dalam membantu mengesan wanita ini.

Hanson berkata, dia menghubungi polis tempatan tempat Backeberg tinggal sekarang, dan bercakap dengannya melalui telefon selama 45 minit.

“Dia kedengaran gembira. Yakin dengan keputusannya dan tidak menyesal,” ujar Hanson. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast