Penjara Alcatraz

WASHINGTON – Donald Trump mengarahkan kerajaannya untuk membuka semula dan meluaskan Penjara Alcatraz, bekas lokasi tahanan yang terletak di sebuah pulau di luar pantai California.

Dalam mesej di laman Truth Socialnya pada hari Ahad, Presiden Amerika Syarikat berkata, Amerika telah terlalu lama dibelenggu pesalah jenayah yang kejam, ganas, dan berulang.

Oleh itu, pembukaan semula Alcatraz akan berfungsi sebagai “simbol undang-undang, ketenteraman dan keadilan,” katanya.

Penjara itu ditutup pada tahun 1963, dan Pulau Alcatraz kini beroperasi sebagai tapak pelancongan.

Ia terletak berhampiran Jambatan Golden Gate di San Francisco.

“Hari ini, saya mengarahkan Biro Penjara, bersama Jabatan Kehakiman, FBI, dan Keselamatan Dalam Negeri, untuk membuka semula ALCATRAZ yang telah diperbesarkan dan dibina semula.

“Penjara itu akan “menempatkan pesalah yang paling kejam dan ganas di Amerika,” tulis Trump.

Trump telah bertelagah dengan mahkamah berhubung dasarnya menghantar anggota kumpulan yang didakwa ke penjara di El Salvador.

Pada bulan Mac, Presiden Trump menghantar lebih 200 orang yang didakwa ahli kumpulan samseng Venezuela ke sana.

Selain itu, beliau turut mempertimbangkan untuk menghantar “penjenayah tempatan” ke penjara asing.

Alcatraz pada asalnya adalah kubu pertahanan tentera laut, dan ia telah dibina semula pada awal abad ke-20 sebagai penjara tentera.

Jabatan Kehakiman mengambil alihnya pada tahun 1930-an dan  mula mengambil banduan daripada sistem penjara persekutuan.

Penjara ditutup kerana terlalu mahal untuk terus beroperasi, menurut laman web Biro Penjara Persekutuan.

Ia hampir tiga kali lebih mahal untuk dikendalikan daripada penjara persekutuan lain, sebahagian besarnya disebabkan oleh lokasi pulaunya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast