Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hadir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mengatur strategi untuk memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai langkah pertama, melaksanakan penyelarasan dasar berkaitan perdagangan melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) selain juga akan memantau petunjuk utama ekonomi
seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman.

Pendekatan tersebut adalah untuk mewujudkan platform yang tangkas untuk memperkenalkan langkah dasar  yang berasaskan data dan berstruktur supaya langkah strategik dibuat pada masa yang diperlukan dan ditumpukan kepada mereka yang terkesan.

Jelas beliau, libat urus akan dipergiatkan dengan pihak industri, ahli akademik dan badan antarabangsa bagi memantapkan proses penyediaan langkah dasar.

“Kedua adalah rundingan penyelesaian tarif timbal balas dengan Amerika Syarikat (AS) di mana antara ikhtiar yang telah diusaha bagi menambah baik hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Ia termasuk pembelian atau pengimportan strategik daripada AS umpamanya tempahan 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dengan opsyen untuk 30 pesawat tambahan telah diputuskan tahun lalu dan dimeterai baru-baru ini.

“Usaha menambah dan menyegerakan pembelian pesawat Boeing ini bakal mengukuhkan industri pelancongan negara melalui peningkatan kapasiti MAG,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan komited  membantu perniagaan yang terjejas akibat daripada perkembangan global semasa di mana sebagai langkah permulaan bersetuju meningkatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Ia khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

Menurut beliau, kerajaan turut bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk manfaat
usahawan PKS yang terjejas.

“Kerajaan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas.

“Strategi keempat dengan menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu di dengan perang perdagangan yang tercetus antara rakan dagang utama adalah penting untuk kita mempelbagai pasaran perdagangan ke pasaran baharu seperti di Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta memperkukuh perdagangan serantau terutamanya dengan negara ahli ASEAN,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hadir pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 MEI 2025.

Anwar menambah, strategi kelima menyaksikan kerajaan perlu mempertingkatkan perhatian kepada penjanaan aktiviti ekonomi domestik terutamanya projek pembangunan dan projek pelaburan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menumpukan usaha kepada mempercepatkan pelaksanaan projek yang diluluskan terutamanya projek tebatan banjir, pembaikan sekolah daif dan pembinaan klinik.

Menurut beliau, bagi menyegerakan pelaksanaan, pemantapan prosedur perolehan Kerajaan akan dilaksanakan terutamanya yang melibat kontraktor kecil di kategori G1-G4.

“Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had sebut harga daripada RM1 juta kepada RM3 juta dan had cabut undi daripada RM100,000 kepada RM200,000 terutamanya untuk mempercepat kerja selenggara serta pembaikan seperti sekolah daif dan klinik.

“Bagi mempercepat proses prapelaksanaan projek, kapasiti agensi teknikal akan ditingkatkan termasuk melalui pendekatan baharu yang membenarkan pelaksanaan projek Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik Kerajaan Negeri.

“Selanjutnya, tumpuan khusus diberikan supaya pelaburan yang diluluskan segera direalisasi di mana setakat ini, Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) sebagai pusat sehenti pelabur telah dibuka di Kuala Lumpur pada Disember 2023 dan di Forest City untuk JS-SEZ pada Februari 2025.

“Sukacita diumumkan, penubuhan IMFC akan diperluas di Pulau Pinang dan Sarawak bagi menyediakan perkhidmatan kepada para pelabur di samping memantau prestasi kelulusan projek,” katanya.

Perdana Menteri berkata, strategi keenam dengan meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi Madani terutamanya dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara.

Katanya, meskipun berhadapan dengan senario global semasa, kerajaan tidak harus melihat keperluan jangka pendek semata-mata.

“Agenda reformasi Ekonomi MADANI telah pun membuahkan hasil awal. Dengan senario global semasa yang mencabar, agenda pembaharuan Ekonomi Madani adalah lebih kritikal untuk diperhebat supaya Malaysia lebih berdaya tahan (domestic resilience) serta terus berdaya saing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast