KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melancarkan Papan Pemuka Prestasi Syarikat Penerbangan dan Lapangan Terbang yang ditambahbaik untuk menyediakan analisis yang lebih menyeluruh dan terperinci kepada orang awam dan pihak berkepentingan industri mengenai prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang di seluruh Malaysia.
Papan pemuka yang ditambahbaik ini memperkenalkan ciri-ciri baharu dan skop data prestasi yang lebih luas, merangkumi operasi syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa di Malaysia.
Ia memaparkan metrik mengenai prestasi tepat masa (OTP), pembatalan penerbangan, pelbagai jenis dan sebab kelewatan serta pembatalan penerbangan, selain prestasi lapangan terbang yang sejajar dengan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang.
“Papan pemuka interaktif yang baharu dilancarkan ini kini menyediakan data yang lebih terperinci untuk pengguna penerbangan dan pihak berkepentingan.
“Penambahbaikan utama termasuk keupayaan pengguna penerbangan untuk mengakses data OTP dan pembatalan penerbangan bagi penerbangan yang berlepas dari pelbagai lapangan terbang di seluruh negara, melangkaui tumpuan sebelum ini yang hanya merangkumi KUL T1 dan T2.
“Papan pemuka ini turut memaparkan maklumat terperinci mengenai pelbagai jenis kelewatan yang dialami oleh syarikat penerbangan Malaysia bagi penerbangan domestik dan antarabangsa. Begitu juga, data pembatalan penerbangan dikategorikan mengikut jenis dan sebab pembatalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pengguna penerbangan juga berpeluang untuk menganalisis trend OTP dan pembatalan penerbangan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia bagi penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang di Malaysia.
Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan di Malaysia, Mavcom memantau OTP bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia termasuk AirAsia, AirAsia X, Batik Air, Firefly, Malaysia Airlines dan MASwings.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pelancaran papan pemuka yang dipertingkat ini menandakan satu langkah penting ke arah mempromosikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam industri penerbangan di Malaysia.
“Papan pemuka ini menawarkan gambaran prestasi industri yang menyeluruh dan interaktif, membolehkan pengguna menyesuaikan dan mengakses data spesifik yang diperlukan dengan mudah. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri, malah ia turut memperkasa pengguna penerbangan untuk membuat pilihan yang lebih termaklum ketika memilih syarikat penerbangan pilihan mereka.
“Matlamat utama kami ialah untuk memupuk budaya akauntabiliti yang lebih tinggi dalam kalangan pengendali penerbangan. Dengan memanfaatkan alat berasaskan data ini, Mavcom berhasrat untuk meningkatkan piawaian perkhidmatan dan mendorong penambahbaikan berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia,” tambah Saripuddin.
Mavcom menambah, syarikat penerbangan dikehendaki memastikan sekurang-kurangnya 85 peratus daripada penerbangan mereka setiap bulan berlepas dalam tempoh 15 minit dari waktu pelepasan yang dijadualkan (STD).
Selain itu, syarikat penerbangan perlu mengendalikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada penerbangan yang dijadualkan dan kadar pembatalan penerbangan bulanan tidak boleh melebihi 20 peratus.
Mavcom berkata, ia juga telah mula menerbitkan data prestasi bagi syarikat penerbangan Malaysia yang beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 dan Terminal 2 (KUL T1 dan T2) pada 15 April 2024, dan sejak itu telah memperkenalkan penambahbaikan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan ketelusan maklumat tersebut.
“Pengguna penerbangan juga berpeluang untuk menganalisis trend OTP dan pembatalan penerbangan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia bagi penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang di Malaysia.
“Penambahbaikan penting lain pada papan pemuka ini ialah penyertaan data OTP dan data pembatalan penerbangan bagi syarikat penerbangan asing yang berlepas dari KUL T1 dan T2.
“Sekiranya syarikat penerbangan gagal memenuhi sasaran pembatalan penerbangan yang ditetapkan, ia boleh menjejaskan permohonannya untuk memperbaharui perkhidmatan sedia ada atau untuk memohon Hak Trafik Udara (ATR) tambahan dengan Mavcom,” ujarnya.
ATR diperlukan bagi mana-mana pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) yang berhasrat untuk mengangkut pengguna penerbangan, mel, atau kargo secara berjadual untuk tujuan sewaan atau upah antara dua atau lebih lokasi, sekurang-kurangnya satu lokasi mesti berada di Malaysia. – MalaysiaGazette
















