ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya melumpuhkan sindiket menyeludup keluar cecair campuran dadah bernilai RM15 juta ke negara jiran yang terbesar pada Khamis lalu.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, hasil risikan kerjasama pihaknya bersama Bahagian Perisikan Maritim (MIND) dari ibu pejabat itu, mereka berjaya merampas 179 botol cecair berkenaan di perairan Pengkalan Balak.

Menurutnya, hasil pemeriksaan sekitar pukul 9.40 malam itu mendapati, 15 kotak berkenaan berisi botol cecair campuran dadah itu dengan isi padu satu liter setiap botol yang dipercayai digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik.
“Hasil ujian awal mendapati cecair berkenaan adalah campuran pelbagai jenis dadah antaranya methamphetamine, ekstasi dan nikotin dan ini adalah kes kes pertama dikesan Maritim Malaysia membabitkan eksport keluar cecair campuran dadah.
“Cecair kimia ini mampu untuk menghasilkan dadah sintetik dalam pelbagai bentuk ataupun pelbagai jenis dan juga kita tidak menolak kemungkinan cecair ini juga digunakan dalam perhasilan untuk cecair isian semula rokok elektronik,” katanya.

Mohd Zawawi menunjukkan botol mengandungi cecair campuran dadah bernilai RM15 juta yang dirampas.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, di Kuala Linggi hari ini.
Hadir sama, Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan dan Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Leftenan Komander Maritim Abd Hafis Hussin.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, cecair kimia dadah keseluruhannya bernilai kira-kira RM15 juta di pasaran gelap itu boleh menghasilkan sekitar 150 kilogram dadah sintetik yang dianggarkan mampu diedarkan kepada 300,000 hingga 800,000 penagih.

Mohd Zawawi menunjukkan lokasi rampasan 179 botol cecair campuran dadah di perairan Pengkalan Balak, Melaka
“Ketika ditemui bungkusan dadah di dalam 15 kotak dibalut plastik hitam ini diletakkan di atas batu kawasan semak dipercayai untuk diambil pihak ketiga dan membawanya ke negara jiran.
“Siasatan awal kita tidak menolak kemungkinan aktiviti penyeludupan keluar ini didalangi warga tempatan,” katanya sambil menambah berharap penduduk tempatan dan nelayan dapat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang aktiviti mencurigakan.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette
















