KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kejadian samun membabitkkan lima individu yang menyamar sebagai anggota polis seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku pada Ahad lepas lebih kurang pukul 5.02 pagi di sebuah rumah di kawasan Semenyih.
Menurutnya, kelima-lima suspek telah melakukan samun ke atas sebuah keluarga yang salah seorang daripadanya merupakan pesara berusia 55 tahun.
“Berdasarkan rakaman CCTV di lokasi kejadian, suspek yang tidak dikenali memakai pelitup muka dengan dua orang daripada mereka memakai vest poli.
“Mereka telah masuk ke dalam rumah mangsa dengan cara memecah pintu hadapan rumah.
“Kesemua mereka melarikan beberapa barang kemas, dua buah telefon bimbit dan wang tunai lebih kurang RM500 dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM9,000,” katanya menerusi kenyataan.
Naazron berkata, pihaknya kini sedang melakukan siasatan dan operasi khas dilancarkan bagi mengesan suspek.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (merompak secara berkumpulan) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Insp. Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular di laman sosial X rakaman menunjukkan semua suspek menaiki sebuah kereta menerpa pintu kediaman rumah mangsa.
Salah seorang daripada suspek menendang pintu rumah menggesa mangsa supaya membukanya dengan alasan palsu kononnya mahu menjalankan siasatan atas dakwaan makmal dadah. – MalaysiaGazette















