JOHOR BAHRU – Dua wanita yang sedang leka mencuri bungkusan kantoi dengan tuan rumah dalam kejadian di sebuah taman di Seri Alam, Masai di sini Jumaat lalu.
Dalam kejadian yang tular dalam media sosial itu, dua wanita berkenaan ditahan seorang individu ketika melakukan perbuatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun melaporkan kejadian tersebut.
“Pihak polis mengesan video kejadian berkenaan yang berdurasi satu minit 31 saat tular dalam Facebook.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada pukul 3.49 petang, Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Tambahnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya.
Polis katanya, sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan syarikat penghantaran, pemilik bungkusan dan juga suspek yang terlebat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Mohamad Haikal Kamarulzaman 018-9584479 atau 07-3864222 bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















