JOHOR BAHRU – Johor akan memulakan pengedaran minyak masak paket bersubsidi secara zon bermula bermula esok.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr Fuziah Salleh berkata, langkah berkenaan bagi memastikan pengedaran minyak masak paket di Johor dapat diedar secara menyeluruh kepada semua pengguna.
“Ini membabitkan 3,112 metrik tan paket minyak masak daripada 19 syarikat pembungkusan kepada 17 peruncit.
“Tempoh pengedaran mengikut zon sehingga hujung tahun ini diberikan untuk melihat keberkesanan pengagihan minyak masak di Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Jelapang Emas Ventures Sdn Bhd, Jalan Kempas Lama, Kempas, di sini, hari ini.
Katanya, langkah berkenaan bagi memastikan tidak ada mana-mana kawasan di negeri ini terputus bekalan minyak masak.
Sebelum ini katanya, pengagihan yang tidak selaras menjadi punca beberapa kawasan terputus bekalan.
Syarikat pembungkusan katanya, diwajibkan menghantar bekalan secara berkala kepada peruncit menerusi zon yang ditetapkan.
Ini bagi mengatasi masalah terputus bekalan terutama di kawasan terpencil, katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut setakat ini telah dilaksanakan di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sebelum ini repacker (syarikat pembungkusan) taburan (kawasan) mungkin tidak diselaraskan, jadi taburan itu mungkin (menyebabkan) ada tempat yang tidak ada bekalan.
“Contohnya sebelum ini di daerah Mersing, kadang kala terputus bekalan, apabila terima aduan dan dikaji balik, kita dapati Mersing dapat bekalandari Kuantan. Jadi dengan pengedaran mengikut zon ini kita dapat pastikan ia dihantar terus ke Point of Sale (POS),” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan masih mengekalkan kuota minyak masak bersubsidi sebanyak 60,000 tan metrik setiap bulan dengan membabitkan 330 syarikat pembungkus seluruh negara. – MalaysiaGazette.
















