Kumar menyerahkan sijil penghargaan kepada anggota polis dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Mei 2025 di Padang Kawad, IPK Johor, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor membuat rampasan dadah RM75.85 juta dengan nilai sitaan pelbagai aset berjumlah RM2.07 juta sejak awal tahun hingga bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam tempoh yang sama, pihaknya berjaya melumpuhkan 17 sindiket pengedaran dadah dengan menahan 45 ahli sindiket.

“Dalam tempoh Januari sehingga April lalu, JSJN turut mempamer prestasi cemerlang apabila membuat sebanyak 8,598 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah.

“Bagi tempoh yang sama, sejumlah 878.86 kilogram dan 3,643.77 liter dadah telah berjaya dirampas dalam beberapa siri serbuan dan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis, Abdul Latiff Mehat.

Kumar berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Johor juga patut diberi pujian di atas beberapa kejayaan yang membanggakan melalui beberapa siri operasi dan tangkapan yang telah dijalankan.

Menurutnya, elemen JKDNKA yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 2 dan Pasukan Gerakan Am Batalion 5 dan 6 berjaya menyelesaikan lapan kes e-waste dengan jumlah rampasan bernilai hampir RM 274 juta.

“Pasukan tersebut turut berjaya menumpaskan 25 kegiatan kontraban berkaitan penyeludupan minuman keras dan rokok dengan nilaian rampasan berjumlah RM 3.98 juta serta dua kes penyelewengan minyak bersubsidi membabitkan rampasan berjumlah RM172,527,” ujarnya.

Tambahnya, polis Johor menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sentiasa menjalankan pemantauan rapi terhadap taktik terkini penipuan jenayah siber dengan penggunaan kecerdasan buatan (Ai) yang sering disalahgunakan untuk memanipulasi orang ramai demi mengaut keuntungan.

Untuk rekod kata Kumar, dalam tempoh Januari sehingga April lalu, data kerugian akibat penipuan ini telah mencecah sehingga RM80 juta.

Ini menunjukkan ancaman ini berada di tahap yang amat membimbangkan, ujarnya.

“Oleh itu, saya menyarankan agar kita semua sentiasa berwaspada dan melakukan semakan kesahihan maklumat sebelum berkongsi data peribadi atau membuat sebarang transaksi di dalam urusan seharian kita. Jadilah masyarakat yang bijak dalam membuat keputusan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast