JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan pemilihan PKR 2025 sebagai pertembungan antara kumpulan reformis asal dengan kumpulan yang sudah mengabaikan prinsip dan asas perjuangan parti.
Beliau mendakwa, perlu ada satu kumpulan yang tegas dan berani mati mempertahankan prinsip dan perjuangan asal supaya tidak diambil alih kumpulan yang merosakkan.
“Pemilihan kalil ini isu sebenarnya adalah pertembungan reformis asal (dengan satu lagi kumpulan dalam parti). Kita semua ini adalah reformis asal, ada yang datang dalam parti masa 1998, 2002 atau 2008.
“Tak kiralah bila kita masuk parti ini tapi jiwa kita jiwa reformis yang tidak setuju dengan cerita berebut pangkat, main duit, kemewahan dan sebagainya.
“Ini satu kumpulan lagi yang menangguh di air keruh, orang lain susah payah bila menang ramai pula (sertai parti),” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) terakhir di Hotel New York di sini malam tadi.
Rafizi mendakwa, pihaknya menyangkakan kumpulan yang mengambil kesempatan itu akan lenyap selepas Langkah Sheraton dan pemilihan PKR pada 2022 namun seballiknya berlaku.
“Ingatkan kumpulan ini dah kecil dan dah takda tapi rupanya dia jadi makin besar, daripada saki baki yang ada ditambah puak baru dan kumpulan lain, tambah pula geng-geng pengampu yang ada jawatan, jadi kumpulan ini jadi lebih besar, cuba nak berdamai dengan kita.
“Saya simpati dengan Nurul Izzah (Anwar) kerana ada orang dan kumpulan yang guna dan tunggang dia ke arah itu, saya cakap terus terang,” dakwanya lagi.
Disebabkannya lantang bersuara yang menentang kumpulan itu, beliau berkata, ramai pihak tidak bersetuju dan menggambarkan dirinya ‘bermulut longkang’.
Jelasnya, apa yang dilakukan kerana tidak mahu PKR dikuasai kumpulan tersebut selepas pemilihan nanti sekali gus akan merosakkan parti.
Rafizi berkata, pemilihan parti ketika ini sangat bergolak kerana ini meupakan penggal terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui parti sebagai Presiden PKR.
“Jadi dia tak boleh bayangkan selepas ini Datuk Seri Anwar bukan presiden, kalau Rafizi tak dihalang sekarang, jangan bagi laluan mudah untuk jadi presiden parti selepas ini, kalau dia jadi presiden parti mampus kita,” katanya.- MalaysiaGazette















