Ketua Pesuruhjaya Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media berkaitan operasi yang dijalankan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

PUTRAJAYA – Siasatan kes pencerobohan tanah di Raub Pahang menjurus kepada rasuah terutamanya membabitkan peneroka dan pegawai yang memiliki kuasa ketika itu.

Ia kerana, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti wujud elemen meragukan berhubung isu pencerobohan tanah yang dijadikan kebun durian di Raub, Pahang.

Lantaran itu, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan keterangan saksi.

Setakat ini  38 saksi sudah dipanggil termasuk peneroka, peguam, pihak syarikat dan pegawai-pegawai daripada pejabat hutan, pejabat daerah dan tanah serta penguatkuasaan negeri Pahang dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Namun, Azam mengakui kesukaran untuk memanggil saksi-saksi yang terbabit termasuk kakitangan awam kerana ia membabitkan tempoh masa yang lama iaitu antara tahun 2004 hingga 2016.

“Saksi terkini memang mudah untuk kita panggil tetapi kita tetap panggil untuk menjawab persoalan yang dikemukakan pegawai penyiasat. Ini bagi mengetahui proses dan tindakan penguatkuasaan mereka ketika itu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Azam turut mengesahkan, pihaknya akan mengaktifkan semula siasatan kes penerokaan tanah yang sebelum ini dilakukan pada 2021.

Beliau turut mempertimbangkan  kes ini  bukan sahaja disiasat di bawah Seksyen 10 Akta SPRM 2009 tetapi juga di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan harta dengan curang.

“Undang-undang ini (Seksyen 403 Kanun Keseksaan) boleh bertindak sekiranya mana-mana orang menggunakan harta secara curang yang mana dalam hal ini, tanah itu bukan milik mereka, bagi tujuan faedah masing-masing.

“Dalam kes ini, ia adalah berkaitan dengan peneroka-peneroka yang dikatakan meneroka tanah secara haram untuk menanam durian dan mendapat manfaat daripadanya.

“Kita juga menjalankan siasatan dalam kes rasuah iaitu mereka yang didakwa menerima rasuah dan sudah tentunya ia membabitkan pegawai-pegawai yang mempunyai kuasa ketika itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast