Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media berkaitan operasi yang dijalankan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 22 MEI 2025

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula semua individu yang didakwa terbabit dalam dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah memperoleh laporan forensik berkaitan rakaman video yang tular di laman sosial tahun lepas.

“Laporan forensik berkenaan telahpun siap dan diserahkan kepada pegawai penyiasat, sejak seminggu lalu.

“Arahan saya adalah pegawai penyiasat perlu memanggil semula semua mereka yang dikatakan terbabit sama ada dalam video itu, yang memegang video itu dan sebagainya untuk dirakamkan percakapan bagi menentusahkan isu atau kandungan dalam video berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam bagaimanapun enggan mengulas ketulenan video berkenaan dan mahu siasatan segera diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Saya tidak memberi sebarang ulasan tentang hasil daripada video itu sama ada ‘authentic’ atau tidak tetapi yang penting kita menjalankan siasatan memanggil mereka untuk memberi keterangan tentang apa yang ada di dalam video itu.

“Timbalan Pendakwa Raya akan melihat tentang hasil forensik berkenaan untuk menentusahkan sama ada ia adalah asli atau tidak dan sebagainya untuk dibuat keputusan.

“Jadi dalam kes ini saya telah memberi arahan bahawa dalam tempoh 1 bulan setengah daripada sekarang perlu disiapkan dengan segera,” ujarnya.

Sebelum ini, seramai lapan ADUN Sabah dipanggil semula dan video terbabit dimainkan di hadapan mereka bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi yang berlaku.

Menurut laporan, video berkenaan didakwa memaparkan perbincangan mengenai skandal rasuah projek cari gali mineral di Sabah.

Video terbabit yang dikaitkan dengan beberapa ADUN Sabah didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di negeri itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast