Dalam satu perkongsian oleh si ibu, Nurul Huda Zulkhairi di laman sosial semalam, kejadian itu berlaku di kediaman mereka ketika majlis ulang tahun anak lelaki mereka, Uwais pada 20 Mei lalu. Ihsan Foto : Nurul Huda Zulkhairi

KUALA LUMPUR – Sambutan hari lahir yang sepatutnya menjadi kenangan manis bertukar menjadi detik hitam buat sepasang suami isteri apabila anak lelaki mereka hampir maut akibat tercekik sebiji belon yang belum ditiup.

Dalam satu perkongsian tular oleh si ibu, Nurul Huda Zulkhairi di laman sosial semalam, kejadian itu berlaku di kediaman mereka ketika majlis ulang tahun anak lelaki mereka, Uwais pada 20 Mei lalu.

Menurut ibu mangsa, suasana ceria bertukar cemas apabila anaknya secara tiba-tiba rebah dalam keadaan muka kebiruan selepas bermain dan berlari-lari bersama rakan-rakan.

“Saya dan suami sedang melayan tetamu apabila adik ipar kami membawa Uwais dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bibirnya bertukar biru.

“Ketika itu, jantungnya sudah berhenti,” katanya dalam hantaran itu.

Suaminya bersama rakan yang juga seorang doktor bertindak pantas melakukan CPR dan bantuan pernafasan sebelum membawa mangsa ke hospital dalam keadaan kritikal.

“Suami saya terus buat CPR untuk pastikan darah mengalir ke seluruh badan, terutama ke otak.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, dia terpaksa beri bantuan pernafasan mulut ke mulut,” tambahnya

Setibanya di Jabatan Kecemasan Hospital Kulim, pasukan perubatan segera melakukan prosedur intubasi dan menemui sebiji belon tersangkut di saluran pernafasan Uwais.

“Doktor segera mengeluarkan belon itu dan meneruskan CPR. Alhamdulillah, nyawa anak saya berjaya diselamatkan,” ujarnya.

Uwais kemudiannya telah dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemantauan dan rawatan lanjut.

Menurutnya, insiden itu berlaku apabila anaknya bergurau dengan rakan dengan memasukkan belon ke dalam mulut sebelum berlari-lari, lalu dipercayai tersedak.

“Perkara yang kita anggap remeh seperti sebiji belon boleh menjadi punca tragedi jika tidak diawasi.

“Saya hampir kehilangan anak hanya kerana satu belon,” katanya

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Bahiyah atas kecekapan dan keprihatinan menyelamatkan anaknya.

“Doakan agar Uwais terus kuat dan pulih seperti sediakala. Terima kasih Allah kerana masih meminjamkan anak ini buat kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast