Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai dikelar rakan serumahnya yang juga warga asing di sebuah premis kuarters pekerja di Jalan SS 14, dekat Subang Jaya, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 6.29 pagi itu dilaporkan oleh seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa.

Katanya, polis segera ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang berusia 28 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah dikelar oleh suspek yang juga rakan serumahnya.

“Suspek yang berusia 29 tahun ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian pada pukul 8.15 pagi. Sebuah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Fairus berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati, dia negatif dadah.

Ujarnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati premis tersebut digunakan sebagai kuarters pekerja oleh sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pencucian bangunan.

Difahamkan, empat pekerja tinggal di rumah tersebut dan mereka kesemua memiliki dokumen perjalanan yang sah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast