KUANTAN – Seorang wanita bersama rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak secara berkumpulan menggunakan senjata di Felda Chini, di Pekan, dua bulan lalu.
Tertuduh Sri Farhana Mohd Kamal, 27, serta Mohd Fazli Rahmat, 34, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Azman Mustapha.
Kedua-duanya mengangguk faham semasa pertuduhan dibacakan memohon untuk dibicarakan.
Kedua-dua tertuduh didakwa merompak berkumpulan seutas rantai leher dan gelang tangan milik wanita berusia berusia 56 tahun yang juga ibu mertua Sri Farhana.
Tertuduh yang masing-masing merupakan seorang suri rumah dan mekanik itu didakwa melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau dalam kejadian 11.50 malam, 20 Mac lalu.
Sri Farhana dan Mohd Fazli dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.
Jika disabit kesalahan kedua-dua individu terbabit boleh dihukum 20 tahun dan dikenakan sebat.
Sesi pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kes samun itu berkait hubungan kekeluargaan,
Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak diwakili peguam.
Hakim Azman Mustapha kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh namun mereka dibenarkan memohon jaminan selepas proses lantikan peguam dibuat.
Hakim menetapkan 25 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















