KUALA LUMPUR – Kelab yang berpangkalan di Brunei, DPMM FC akan bertanding dalam musim baharu Liga Super 2025-2026.
Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan memaklumkan, DPMM FC bakal beraksi sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk beraksi dalam saingan liga profesional Malaysia, Liga Super yang dijangka bermula pada Ogos 2025.
Menurutnya, DPMM FC bukan kelab asing dalam kancah bola sepak tempatan yang mana pasukan itu pernah menyertai pertandingan Piala Malaysia pada 1979 buat kali pertama dan kemudian Liga Semi-Pro pada 1989.
Brunei pernah menjulang trofi Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan rekod terbaik DPMM FC pula menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Super 2005-2006.
“MFL amat mengalu-alukan kehadiran DPMM FC bagi menambah saingan dan kemeriahan Liga Malaysia 2024-2025 selepas kali terakhir mereka tampil dalam Liga Super pada 2008.
“Sudah pasti penyertaan DPMM FC akan memberikan satu tarikan dan cabaran baharu buat Liga Malaysia apatah lagi kelab ini memiliki sejarah tersendiri yang cukup dekat dengan penyokong tempatan,” katanya.
Tambah MFL, selain DPMM FC, 13 lagi kelab telah mendapat Lesen Kebangsaan musim 2025-2026 seperti yang diputuskan oleh First Instance Body (FIB) semalam untuk melayakkan diri bersaing dalam Liga Super.
Kelab berkenaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC manakala Kuala Lumpur City FC, PDRM FC, dan Kelantan Darul Naim FC (Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’) serta dua kelab dari AFL A1, Melaka FC dan Imigresen FC.
Menurutnya, pada musim lalu, Liga Super hanya disertai 13 kelab berbanding musim ini 14 kelab termasuk penyertaan dua kelab dari AFL A1, Melaka FC dan Imigresen FC.
“Walaupun pertandingan Liga Super kehilangan dua kelab Perak FC dan Kedah Darul Aman FC yang gagal dalam permohonan Lesen Kebangsaan, namun ini adalah bukti ketegasan FIB dan juga MFL terhadap kelab yang berdepan kes tunggakan gaji dalam masa yang sama bagi memastikan tahap integriti dan kompetitif liga profesional ini di tahap tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, tambah MFL, selepas proses transisi Liga Malaysia pada musim 2024-2025, kalendar Liga Malaysia kini selari dengan liga-liga luar negara di mana tirai saingan Liga Malaysia akan bermula pada awal Ogos 2025 dengan Perlawanan Sumbangsih yang juga perlawanan pertama Liga Super melibatkan juara liga, JDT dan naib juara liga, Selangor FC.
Selain itu, katanya, MFL juga telah menetapkan tarikh Perpindahan Pemain Pertama Liga Malaysia 2025-2026 pada 9 Jun sehingga 31 Ogos 2025 manakala jendela perpindahan kedua pada 5 Januari 2026 sehingga 1 Februari 2026.
Ujarnya, saingan Piala FA 2025-2026 dijadual berlangsung pada Ogos 2025 disusuli MFL Challenge Cup dan Piala Malaysia dijadual bermula pada Januari 2026.
“Maklumat terperinci berkenaan kalendar Liga Malaysia akan dikemaskini selepas mendapat pengesahan tarikh kejohanan ACL Elite dan ACL 2 daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta kejohanan peringkat kelab kelolaan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF),” katanya. – MalaysiaGazette
















