Akmal Nasrullah Mohd Nasir

JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini.

Beliau yang sebelum ini tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru meraih sebanyak 4,455 undi seperti diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Dr Zaliha Mustafa dalam Konvensyen Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini malam tadi

Pada pemilihan peringkat cabang sebelum ini, Akmal tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru hanya memperoleh 587 undi berbanding 709 undi yang diraih oleh Mohamad Taufiq yang juga anak didiknya sebelum ini.

Kekalahan itu mengejutkan ramai penyokongnya memandangkan Akmal sebelum itu memberi bayangan mendahului daripada segi jumlah undi menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut berkongsi infografik yang memaparkan keputusan tidak rasmi pemilihan.

Sebelum ini, Akmal juga lantang menyuarakan isu dalaman parti termasuk menyentuh mengenai ‘fenomena badan tanpa kepala’ yang turut melanda Cabang Johor Bahru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast