JOHOR BAHRU – Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek memberi peringatan tegas kepada ahli parti agar tidak terus terperangkap dalam budaya politik ‘dikir barat’ yang hanya menurut secara membuta tuli.
Ia kerana, budaya ini boleh menyebabkan perpecahan apabila suara yang membawa mesej berbeza tidak disambut oleh majoriti.
“Kita tidak boleh lagi mengamalkan politik dikir barat ini, di mana bila tukang karut berkata-kata, ahlinya akan mengikut setiap kata-kata itu.
“Budaya ini boleh membantutkan pertumbuhan politik yang sihat dalam parti kerana ia menyingkirkan individu yang berani membawa pemikiran baharu dan idea yang berbeza,” kata Fadhlina ketika sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Persada Johor, hari ini.
Menurutnya, landskap politik hari ini menuntut kematangan dan keberanian menyuarakan pandangan.
Oleh itu, PKR mesti menolak budaya pemujaan individu dan mewujudkan ruang perbincangan yang inklusif dan terbuka.
Fadhlina turut menekankan kepentingan untuk setiap peringkat kepimpinan parti dari cabang hingga ke peringkat pusat untuk memastikan wujud kesatuan yang jelas dalam hala tuju dan gerak kerja politik.
“Kita melihat baik di cabang mahupun ranting, dan seluruh kepimpinan yang ada mesti ada kesatuan yang jelas,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, kekuatan PKR bukan sahaja terletak pada tokoh-tokoh utama, tetapi lebih penting lagi pada keupayaan untuk menghormati perbezaan, mendengar suara akar umbi, dan bergerak secara kolektif. – MalaysiaGazette
















