JOHOR BAHRU – Naib Presiden Keadilan, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sekadar parti politik untuk hari ini, tetapi sebuah gerakan masa depan yang membawa idealisme reformasi dan cita-cita membina negara lebih adil, bebas dan demokratik.
Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Keadilan 2025 bertemakan ‘Kita Keadilan’ di Persada International Convention Centre, beliau mengingatkan parti itu lahir bukan daripada kuasa, tetapi daripada semangat perjuangan dan cita-cita besar terhadap masa depan negara.
“Agenda reformasi bukan hanya tentang laungan, tetapi dibina melalui dasar dan kerangka ekonomi yang adil. Ia lahir daripada jerih payah perjuangan yang bermula lebih 26 tahun lalu,” katanya memulakan ucapannya.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menyentuh bagaimana gagasan Ekonomi Madani yang kini menjadi tonggak pentadbiran negara sebenarnya berakar daripada perjuangan PKR sejak tahun 1998.
Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim mula mengangkat isu ketidakseimbangan ekonomi dan penindasan kuasa elit.
Namun katanya, cabaran utama parti hari ini adalah untuk terus membentuk ‘imaginasi bangsa’ membayangkan bagaimana rupa masa depan rakyat Malaysia tanpa takut terhadap perbezaan kaum atau agama.
“Kita mahu Melayu yang maju dengan ilmu dan keyakinan, bukan dengan ketakutan. Kita mahu India, Cina dan semua kaum lain hidup bersama dalam kesatuan sebagai sebuah bangsa Malaysia.
“Retorik ekstrem yang sedang berkembang di banyak negara termasuk rantau ini sangat membimbangkan. Keadilan perlu menjadi suara waras dalam suasana politik serantau yang tidak menentu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amirudin juga menyeru parti itu terus mengangkat idealisme terutamanya ketika berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kita mesti ada sasaran khusus bagaimana mahu menang di Sabah, bagaimana mahu menambah kerusi Parlimen, bagaimana mahu memperkukuh jentera parti.
“Jika 26 tahun dahulu Keadilan bermula tanpa kuasa dan dana, kini parti sudah menggalas amanah pentadbiran yang besar dan mesti membuktikan kemampuannya.
“Kita mampu meraih sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















