BATU PAHAT – Sepasang suami isteri warga emas maut selepas melanggar belakang sebuah lori kurang di Jalan Bindu, Tongkang Pechah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Batu Pahat mengetahui kejadian itu pukul 9.30 pagi.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa sebuah lori dipandu seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dari arah Bindu menghala ke arah Tongkang Pechah.

“Apabila sampai di tempat kejadian iaitu semasa sedang berhenti di lampu isyarat merah tiba-tiba sebuah kereta dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Kemalangan tersebut  menyebabkan pemandu kereta iaitu seorang lelaki tempatan berumur 69 tahun cedera parah pada beberapa organ dalaman.

Isterinya iaitu penumpang yang juga warga tempatan berumur berusia 75 tahun mengalami kecederaan di kepala, rusuk kanan dan kaki kanan.

Beliau berkata, Mazalan Balia disahkan meninggal dunia pukul 12 tangah hari tadi dan isterinya, Pauziyah Radin Ahmad pula meninggal dunia pukul 1.45 petang semasa kedua-duanya sedang dalam rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Pasangan tersebut beralamat di Taman Jaya, Parit Raja di sini manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast