KUALA LUMPUR – Polis telah pun mengambil keterangan daripada tiga individu bagi membantu siasatan kes pukul dan tetak di Pangsapuri Puchong Intan, Taman Puchong, dekat Subang Jaya, awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt Mohd Fairus Jaafar berkata, siasatan polis turut mendapati salah seorang suspek yang terlibat dalam kes itu memiliki rekod jenayah.
“Suspek masih belum ditangkap dan usaha mengesan masih dijalankan,” katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.
Semalam media melaporkan, polis sedang mengesan tiga lelaki tempatan berumur 30 hingga 40 tahun kerana disyaki terlibat kes terbabit.
Mohd Fairus dipetik berkata, mangsa dipukul serta ditetak menggunakan pisau serta batang besi di bahagian badan dan kepala mangsa sehingga mengalami kecederaan.
Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, dan dilaporkan stabil manakala, punca kejadian dipercayai disebabkan masalah rumah tangga serta cemburu.
Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau Insp Dinesh Ganasan di talian 011-330 94457. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
















