KUALA LUMPUR – Himpunan Melayu Berdaulat didakwa berjaya menyedarkan orang Melayu tentang kepentingan kuasa dan maruah Melayu dipertahankan jika bangsa itu tidak mahu kehilangan kedaulatan di negara sendiri.
Pengerusi Ummah Malaysia, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan segera dan berani mesti dilaksanakan bagi menghalang perkara itu berlaku.
“Semalam, semua pemimpin Melayu mencapai kesepakatan bersetuju dan sedar bahawa kita mesti bersama-sama bersatu menghadapi musuh yang satu.
“Musuh yang cuba memecah-belah orang Melayu, mempersenda agama Islam, mempersoal hak istimewa dalam Perkara 153 Perlembagaan, pembangunan semula bandar yang meminggirkan orang Melayu di bandar melalui Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (RUU URA).
“Lebih malang ‘musuh’ kini berani mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong melalui mahkamah mengenai titah adendum yang dikurniakan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan Himpunan Melayu Berdaulat di luar pekarangan pusat beli-belah Sogo, di sini, semalam.
Perhimpunan aman itu bagi menyuarakan isu-isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, termasuk bantahan terhadap cadangan RUU URA.
Mohd Zai berkata, semua pihak perlu sedar dan wajar bersetuju dengan menyatupadukan pemimpin Melayu bagi menghalang kuasa dan maruah serta kedaulatan Melayu terus lenyap dan hilang.
“Pemimpin Melayu wajib menunjukkan contoh dan teladan kepada satu penyatuan Melayu yang kuat.
“Himpunan semalam juga memberi isyarat bahawa semua pemimpin Melayu wajar berada dalam satu wadah iaitu payung besar orang Melayu yang disertai semua pemimpin Melayu sama ada politik, NGO dan NGI.
“Sudah sampai masanya orang Melayu mengenepikan segala perbedaan, fokus kepada penyatuan Melayu dan penyatuan ummah bagi mempertahankan perpaduan nasional yang telah terbina di negara ini dengan baik sejak sekian lama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















sedarlah diri tu . orang melayu sedar untuk berubah dam jaga kedaulatan. yang tak sedar dan tertipu kumpilan yang berhimpun.