KUANTAN – Seorang pengurus ejen insurans mengalami kerugian RM695,000 akibat terpedaya skim pelaburan atas talian di Bentong.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 60 tahun itu diperdaya dengan iklan pelaburan di Facebook oleh individu bernama ’Carmen Lee’ yang menyamar sebagai wakil syarikat Penunjuk Arah Kekayaan Malaysia pada 2 April lalu
”Kemudian mangsa diminta memuat turun aplikasi NB Plus dan mendaftar menggunakan maklumat peribadi.
”Pada 17 April 2025, mangsa membuat pelaburan pertama sebanyak RM5,000 ke akaun yang diberikan dan menerima keuntungan awal sebanyak RM900,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mangsa mula menambah pelaburan dengan melakukan 22 transaksi berjumlah RM695,000 ke pelbagai akaun bank daripada wang simpanan peribadi dan pinjaman dari rakan, ujarnya.
Bagaimanapun pada 23 Mei 2025, apabila mangsa cuba mengeluarkan semua modal dan keuntungan, warga emas itu dimaklumkan bahawa operasi pengeluaran hanya dibenarkan pada hari bekerja.
Berikutan itu, wanita tersebut menyedari dirinya ditipu oleh suspek dan membuat laporan polis.
Azry Akmar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette















